KUALA TERENGGANU: Lebih 10,000 individu yang mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 di Terengganu didapati gagal menghadiri sesi janji temu vaksinasi setakat ini, kata Exco Kesihatan Negeri Dr Alias Razak.

Katanya, rata-rata penerima daripada golongan warga emas memberi alasan terlupa tarikh janji temu dan tiada kenderaan untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditetapkan.

Menurutnya, apabila penerima tidak hadir pada tarikh janji temu, pihaknya akan menghubungi individu dalam senarai simpanan untuk menggantikan tempat bagi mengelakkan pembaziran dos vaksin itu.

BACA: Kecewa 10,000 gagal hadir vaksinasi di Kelantan: "Bakpo tokse vaksin?" - Misha Omar

Berdasarkan statistik daripada laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) seramai 345,492 individu di negeri ini telah mendaftar sebagai penerima vaksin sehingga tengah hari semalam dan daripada jumlah itu seramai 79,185 individu sudah menerima suntikan vaksin.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Dr Alias berkata bagi mengatasi masalah kegagalan menghadiri sesi janji temu vaksinasi yang agak tinggi itu, kerajaan negeri bercadang membuka kaunter pemberian vaksin di masjid demi memudahkan para penerima vaksin.

"Itu antara usaha yang difikirkan untuk memastikan lebih ramai rakyat di Terengganu menerima vaksin. Namun kita terlebih dahulu perlu mengatasi masalah kekangan sumber manusia daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberikan suntikan kepada penerima di masjid," katanya.

Katanya, Terengganu mempunyai 14 PPV setakat ini dan telah menawarkan lebih 100 klinik swasta di seluruh negeri untuk menjadi ejen pemberian suntikan vaksin COVID-19.

Bagaimanapun, katanya, hanya empat klinik setakat ini sudah bersetuju memberikan kerjasama.

"Bukan sahaja bekalan vaksin kerajaan berikan malah kerajaan akan bayar sebanyak RM14 kepada klinik swasta tersebut bagi setiap suntikan yang diberikan," katanya.

-- BERNAMA