MELAKA: Sebanyak 109,742 pengunjung direkodkan berkunjung ke 11 tempat pelancongan yang dibuka secara percuma di Melaka bersempena dengan cuti umum Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Feb lepas.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM2.6 juta kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan inisiatif julung kali itu yang turut diadakan bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

"Inisiatif ini bukan sahaja menarik minat pengunjung dalam kalangan rakyat Melaka tetapi juga dari luar negeri seperti Terengganu dan Pahang kerana menawarkan tiket masuk percuma ke destinasi pelancongan terlibat sekali gus memberi penjimatan kepada mereka," katanya kepada pemberita di Dataran Pengkalan Rama Pantai di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Memancing dan Memasak Ikan Air Tawar Sempena TMM2024 yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata inisiatif itu dilihat turut memberi manfaat besar kepada sektor makanan dan minuman serta perhotelan di negeri itu dengan anggaran perbelanjaan pelancong lebih RM6 juta pada hari berkenaan.

Ditanya sama ada inisiatif berkenaan akan diteruskan pada tahun hadapan, beliau berkata cadangan itu akan dikaji secara menyeluruh daripada pelbagai aspek kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang besar, selain pemberian itu bertujuan menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke negeri itu pada TMM2024.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata pasar terapung atau floating market yang dibangunkan di Sungai Melaka fasa dua di sini dijangka mula beroperasi pada April nanti.

"Pengoperasian pasar terapung berkenaan akan melibatkan sebanyak 10 bot dan 200 khemah yang menawarkan pelbagai produk makanan, minuman dan pelancongan popular Melaka," katanya.

Terdahulu, beliau berkata sebanyak 1,500 kaki pancing dari dalam dan luar Melaka menyertai pertandingan memancing berkenaan, manakala 50 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan memasak ikan air tawar.

-- BERNAMA