ALOR GAJAH: Lebih 15,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka dijangka memeriahkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Melaka yang dijadual berlangsung di Jonker Walk di sini pada 22 Feb ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata sebanyak RM150,000 berupa baucar pembelian makanan, minuman atau cenderahati diperuntukkan kepada 10,000 pengunjung pertama pada hari terbuka berkenaan bermula 7 malam hingga 12 tengah malam.

Beliau berkata rumah terbuka julung kali dianjurkan di Jonker Walk, yang merupakan lokasi pelancongan wajib singgah itu membabitkan peruntukan berjumlah RM300,000.

"Pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Melaka itu nanti, pengunjung berpeluang mendapat baucar bernilai RM15 seorang dan penebusan baucar itu terhad satu baucar bagi seorang pengunjung.

"Kali ini, rumah terbuka itu tidak berkonsepkan jamuan makanan sebaliknya pengunjung boleh menggunakan baucar yang diperoleh untuk membeli makanan, minuman atau cenderahati yang dijual peniaga di Jonker Walk," katanya.

Ngwe berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran beliau di Selandar di sini pada Sabtu.

Beliau berkata pemberian baucar itu bertujuan membantu peniaga di Jonker Walk sekali gus memeriahkan operasi khas penganjuran pasar malam berkenaan yang julung kali diadakan pada Khamis berbanding pada hujung minggu sebelum ini selama tiga hari bermula Jumaat.

Beberapa jalan sekitar Jonker Walk, katanya akan ditutup bagi melancarkan sambutan majlis rumah terbuka itu, namun ia masih di peringkat perbincangan.

Menurut Ngwe pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan dijadual dipersembahkan kepada pengunjung sekali gus mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Beliau berkata antara tetamu kenamaan yang dijangka hadir ialah Yang Dipertua negeri Tun Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

-- BERNAMA