MELAKA: Konsep mesra penjaja yang diketengahkan pada sambutan Tahun Baharu Cina Negeri Melaka malam tadi, menarik kehadiran lebih 30,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.

Lebih istimewa, buat julung kalinya sambutan yang dimulakan dengan tarian singa dan naga serta paluan gendang itu, dianjurkan secara terbuka di Jonker Walk.

Keterujaan pengunjung juga terserlah, apabila mula membanjiri perkarangan perkarangan Pentas Utama Jonker Walk seawal 5 petang, dengan majlis perasmian disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama memeriahkan sambutan, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datin Radiahtun Malkam, serta barisan kepimpinan negeri bersama-sama mengaul Yee Sang, yang menjadi simbol kepada kemewahan, kekayaan, kebahagian dan kemakmuran bagi masyarakat Tionghua.

Sambutan yang bermula pada 8 malam itu, turut dimeriahkan pelbagai segmen persembahan bagi menghiburkan pengunjung tempatan serta pelancong asing.

Antara pengisian persembahan menerusi segmen tersebut seperti Orkestra Tradisional Cina oleh Persatuan Teo Chew Melaka, Sketsa Peranakan, Paluan Gendang 24 Musim, serta persembahan wushu.

Sambutan menampilkan konsep mesra penjaja dengan melibatkan 323 penjaja itu, turut memeriahkan suasana, yang mana kerajaan negeri menghadiahkan kupon makanan bernilai RM15 kepada 10,000 orang terawal, untuk membeli makanan di sepanjang Jonker Walk.

Di samping persembahan, laluan hampir satu kilometer di sekitar Jonker Walk turut dihiasi dengan tanglung, lampu hiasan serta sembilan replika naga, yang menjadi simbol zodiak bagi tahun ini.

Ab Rauf dalam ucapan aluannya berkata pertemuan pada malam tadi, merupakan manifestasi kepada nilai kesepaduan dan kebersamaan sebagai rakyat Malaysia.

"Kita semua berkongsi di bawah satu payung yang sama, iaitu keluarga Malaysia MADANI yang amat signifikan dengan unsur keharmonian dan kesejahteraan rakyat, untuk sama-sama berganding bahu.

"Saya menyeru kepada pemimpin dan rakyat mengekalkan nilai toleransi, perpaduan dan kerjasama antara kaum, bagi meneruskan keharmonian agar pembangunan negara dapat dipacu bersama," kata beliau.

-- BERNAMA