SEREMBAN: Ribuan pengunjung hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Wisma Majlis Bandaraya Seremban di Forest Height, di sini, hari ini.

Sehingga jam 11 pagi ini, kira-kira 10,000 pengunjung sudah memenuhi ruangan wisma berkenaan pada majlis yang akan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Selain itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud serta Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin turut dijadual berangkat ke majlis berkenaan.

Sebanyak 52 reruai makanan disediakan yang turut membabitkan penglibatan pihak swasta bagi menyediakan pelbagai jenis makanan menarik termasuk apam Johol, lemang daun lerek, rendang maman, sate, cendol, laksa serta 22 ekor kambing golek.

Seorang pengunjung, R.Kumaran, 43, berkata dia dan isteri serta tiga anaknya sudah merancang untuk hadir memeriahkan sambutan rumah terbuka ini sejak seminggu lalu lagi.

Katanya, selain teruja untuk menikmati pelbagai juadah menarik yang disediakan, dia juga ingin mencuri peluang membawa anak-anaknya yang berusia lapan hingga 16 tahun untuk melihat perdana menteri di depan mata berbanding hanya menonton di kaca televisyen sebelum ini.

“Ini kali kedua saya datang rumah terbuka untuk berjumpa Datuk Seri Anwar yang mana sebelum ini kali pertama saya ada pergi ke rumah terbukanya di Parlimen Port Dickson sebelum ini.

“Memandangkan rumah saya pun hanya di Rantau, jadi kami sekeluarga memang sudah rancang datang ke sini pada hujung minggu ini kerana seronok juga apabila kita dapat lihat masyarakat pelbagai bangsa berkumpul dalam satu majlis seperti ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, seorang suri rumah, Hasnizah Nordin, 40, berkata meskipun majlis dijadual bermula pada jam 10.30 pagi, dia dan sekeluarga sudah berada di pekarangan wisma berkenaan seawal jam 9 pagi lagi.

“Saya memang memilih datang awal kerana kita tidak mahu berebut parkir dan Alhamdulillah apabila saya datang awal tadi tempat ini masih belum sesak.

“Bukan sahaja anak-anak, tetapi saya sendiri teruja untuk menikmati pelbagai juadah yang disediakan serta kalau boleh memang saya nak sangat untuk bersua muka dengan perdana menteri,”ujarnya.

Lebih 20,000 pengunjung dijangka menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani yang dijadual berakhir pada pukul 3 petang ini.