MELAKA: Sebanyak 23,448 bilik hotel dan inap desa melibatkan 510 premis penginapan termasuk resort atau tempat peranginan, apartmen serta rumah tumpangan daripada pelbagai bintang tersedia bagi menampung keperluan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, daripada 510 premis itu, sebanyak 67 premis penginapan membabitkan 7,966 bilik berdaftar dengan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Melaka.

"Bagi memastikan pengunjung mendapat perkhidmatan terbaik, kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa semakan kepada premis penginapan pelancong ini bagi memantau dan pengeditan bersama agensi berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, terdapat hotel-hotel baharu yang masih dalam pembinaan dan dijangka dapat beroperasi menjelang Januari tahun hadapan.

"Setakat ini, dianggarkan lima hotel dengan kapasiti tidak kurang daripada 200 bilik. Saya diberitahu, hotel-hotel ini ada antaranya masih dalam pembinaan dan ada yang sudah siap dari segi struktur, namun dari segi pecahan bilik, ia bergantung kepada reka bentuk dalaman.

"Berkaitan taraf bintang, ia hanya akan diberikan apabila hotel itu siap 100 peratus kerana banyak aspek perlu diperhalusi termasuklah dapur, restoran, spa, kolam renang, kemudahan kepada kanak-kanak serta keselamatan," katanya.

Mengulas mengenai promosi TMM2024 melalui pejabat kedutaan Malaysia di luar negara, Abdul Razak berkata, kerajaan negeri mengadakan kerjasama rapat dengan Kementerian Luar melalui Wisma Putra.

"Setakat ini, kita telah mendapat kerjasama dari lebih lima negara dan meskipun tidak dapat menghantar pegawai ke luar negara, kita tetap melakukan promosi dengan letakkan risalah berkaitan pelancongan di Melaka di pejabat-pejabat kedutaan tersebut," katanya. - BERNAMA