LANGKAWI: Lebih 31 kawasan di Langkawi terjejas akibat banjir kilat yang berlaku selepas hujan lebat berterusan sejak awal pagi Ahad.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus, berkata antara kawasan tebabit adalah Kampung Teluk Yu, Kampung Sungai Itau, Kampung Bohor Merah, Kampung Kilim, Tanjung Rhu dan Kampung Tua.

Selain itu, katanya turut terjejas adalah Kampung Pasir Hitam, Pulau Tuba, Kampung Buluh Penyumpit, Kampung Kelibang, Kampung Kuala Melaka dan Telaga Tujuh.

Insiden Kepala Air | 44 mangsa terkandas diselamatkan

"Ada kawasan yang dinaiki air sehingga memaksa penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan ada juga kawasan yang banjir telah surut," katanya di sini, malam ini.

Beliau berkata, selain banjir kilat, APM turut menerima laporan kejadian pokok tumbang menghempap bumbung rumah dan jalan di Mukim Ulu Melaka, Mukim Ayer Hangat, Mukim Kuah dan Mukim Bohor.

BACA: 44 orang terperangkap di Telaga Tujuh Langkawi

BACA: Paras air Lembangan Sungai Melaka di Langkawi capai tahap bahaya - Tuan Ibrahim

BACA: Paras sungai lepasi tahap bahaya di Langkawi, Yan, penduduk diminta berwaspada

Terdahulu, tengah hari Ahad, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam perkongsian di Facebooknya menasihatkan penduduk di Langkawi berjaga-jaga disebabkan peningkatan paras sungai.

Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain turut dilapor berkata, paras dua sungai di pulau itu merekodkan bacaan melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Melaka, Bukit Kemboja dan Sungai Melaka, Padang Mat Sirat.

Pada Ahad juga, seramai 43 pendaki dan seorang jurupandu yang sedang melakukan aktiviti mendaki di kawasan rekreasi air terjun Telaga Tujuh, berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian kepala air.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata dalam kejadian kira-kira jam 10.35 pagi semua mereka sedang dalam perjalanan untuk turun dari bukit.

Semua mereka kemudian diselamatkan pasukan bomba.

Sehingga jam 8 malam tadi, sebuah PPS dibuka di Dewan Syifa, di Padang Mat Sirat, menempatkan 37 mangsa banjir membabitkan 10 keluarga dari Kampung Atas.