MALAYSIA
Lebih 5,000 permohonan Program Tingkatan Enam Universiti Awam diterima

Wong berkata program rintis itu bermula pada 10 Jun lepas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Awam (UA) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) tahun ini mendapat sambutan menggalakkan dengan sejumlah 5,537 permohonan diterima daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi fasa pertama pengambilan.
Ringkasan AI
- Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Awam (UA) menerima 5,537 permohonan fasa pertama, dengan majoriti memilih bidang Sains (3,519) berbanding Sains Sosial (2,018).
- Sebanyak 269 pelajar ditawarkan tempat, dan setakat 31 Julai, 126 pelajar telah mendaftar di UKM (73) dan USM (53); program ini mengekalkan sukatan STPM tetapi berikan pengalaman kampus universiti.
- KPM masih menilai keberkesanan program rintis ini sebelum peluasan, dengan syarat ketat termasuk minimum 5A SPM dan markah PAJSK 80 ke atas; pelajar diberi keutamaan untuk kemasukan universiti selepas STPM.
Wong berkata sejumlah 269 pelajar ditawarkan mengikuti program itu dan setakat 31 Julai lepas, sebanyak 126 pelajar telah menerima tawaran dan kini menyambung pengajian di kedua-dua institusi berkenaan, masing-masing 73 di UKM dan 53 di USM.
Menjawab soalan Senator Datuk Sivaraj Chandran, Wong berkata program itu bukan sekadar penjenamaan semula tingkatan enam, sebaliknya dilaksanakan dengan syarat kemasukan yang ketat bagi melahirkan pelajar berkemahiran berfikir aras tinggi serta bersedia menghadapi cabaran teknologi digital dan ekonomi global.
"Program ini menekankan kelayakan masuk yang amat ketat, selain memenuhi syarat kelayakan asas tingkatan enam, calon juga perlu memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam SPM 2024 dan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) sebanyak 80 ke atas," katanya.
Wong berkata pelajar program itu mengikuti sukatan pelajaran dan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang sama seperti tingkatan enam biasa, namun diberikan pendedahan kepada suasana pembelajaran di kampus universiti yang menjadi antara nilai tambah utama program berkenaan.
Sementara itu, ketika menjawab soalan Senator Tiew Way Keng, Wong berkata KPM masih dalam proses menilai keberkesanan program rintis ini sebelum membuat sebarang keputusan mengenai peluasan ke universiti awam yang lain.
"Kita masih dalam perbincangan dengan universiti-universiti awam yang terbabit dan sekiranya ada keputusan akhir, pihak KPM akan berbincang ataupun mengumumkan keputusan itu supaya pada tahun hadapan anak-anak kita daripada peringkat lepasan SPM boleh membuat permohonan," katanya.
Mengenai laluan pelajar selepas tamat STPM di UKM dan USM, Wong menjelaskan bahawa mereka masih perlu memohon melalui Unit Pengambilan Universiti (UPU) seperti calon lain jika ingin melanjutkan pengajian ke universiti, tetapi diberi keutamaan sekiranya memenuhi syarat kelayakan.
"Kelebihan utama pelajar program ini ialah mereka akan ditandakan sebagai pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Awam dan dari situ diberikan keutamaan sekiranya layak," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami