KOTA BHARU: Lebih 50 peratus katil klinikal di dua Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) hibrid di negeri ini dihuni oleh pesakit golongan muda berusia 20 hingga 40 tahun dalam kategori tiga dan empat, kata Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir.

Beliau berkata, pada permulaan dua PKRC itu iaitu PKRC Gelanggang Seni dan Tanjung Chat diwujudkan sekitar Mei lepas, kebanyakan katil klinikal di situ dihuni oleh golongan berusia namun sejak sebulan lepas, lebih 50 peratus daripada 70 katil klinikal itu dihuni golongan muda pesakit kategori tiga dan empat.

"Berdasarkan pemerhatian pihak kami, situasi ini berkemungkinan disebabkan program vaksinasi dalam jumlah yang besar kepada golongan berusia dan warga emas di negeri ini sekali gus menunjukkan keberkesanan vaksin itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Unit Pengangkutan COVID-19 di perkarangan pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Kelantan, di sini hari ini.

Dr Mohd Zurairie berkata pihaknya mengalami kekurangan ambulans sehingga menjejaskan pergerakan membabitkan pesakit COVID-19 dan beberapa ambulans di negeri ini juga telah dipinjamkan kepada negeri di Lembah Klang kerana keadaan di sana yang lebih memerlukan.

"Ambulans yang tinggal sekarang hanya tiga buah iaitu PBSM Kelantan dan St John Ambulans selain kita juga menerima bantuan ambulans daripada pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia," katanya.

-- BERNAMA