Lebih 50 peratus peniaga dan usahawan kecil di Perak tiada sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) walaupun pelbagai usaha telah digerakkan oleh pihak berwajib, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri Mohd Akmal Kamarudin .

Tanpa menyatakan jumlah peniaga serta usahawan yang ada, beliau berkata alasan sukar untuk memohon sijil tersebut tidak wajar timbul sekiranya mereka mempunyai dokumen lengkap serta mematuhi syarat ditetapkan.

"Memang kita tegas tentang permohonan sijil ini terutama dari sudut kebersihan. Ada dalam kalangan peniaga yang kita tarik balik sijil mereka sebab tidak menitikberatkan perkara ini.

"Kalau cukup syarat, insya-Allah kita akan bagi dan saya amat galakkan para peniaga persendirian mohon sebab bayaran yang dikenakan serendah RM200 sahaja," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pematuhan Halal di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan mempelbagaikan kempen dan program bagi memastikan lebih ramai peniaga serta usahawan memohon sijil halal selain mendidik masyarakat agar celik untuk mendapatkan produk yang mempunyai pensijilan halal.

Selain itu, Mohd Akmal berkata antara kelebihan peniaga yang mempunyai sijil halal adalah produk mereka diyakini selain mampu melebarkan perniagaan memandangkan pasaran produk halal bukan hanya di peringkat domestik malah antarabangsa.

Mengulas mengenai seminar semalam, Mohd Akmal berkata ia bertujuan memberi kefahaman kepada para peserta yang terdiri daripada pemegang sijil halal berkaitan keperluan, standard serta penguatkuasaan berhubung pensijilan halal.

"Selain itu, ia memberi garis panduan untuk membantu para peserta agar sentiasa patuh dan komited dengan garis panduan yang ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA