ALOR SETAR: Seramai 7,047 pegawai dan anggota polis dikerah membantu mangsa banjir di lapan negeri yang terjejas akibat banjir, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Beliau berkata, 568 pegawai dan 6,479 anggota terbabit dikerah di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Kelantan, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak.

Katanya, kesemua mereka ditugaskan bagi proses membantu mangsa khususnya melibatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau dalam pada itu turut menafikan dakwaan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) lambat dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

"Kalau kita tengok dari segi keanggotaan (yang telah dikerah) adalah sebanyak 7,047 di mana ia merangkumi 568 pegawai dan 6,479 anggota yang turun padang di setiap negeri berkaitan.

"Negeri yang terlibat (merangkumi) lapan buah dan kita akan terus membantu mangsa banjir, dari segi menyelamat mereka, (yang mana) tugas kita lebih kepada mencari dan menyelamat mangsa," katanya.

Mazlan berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Kuala Kedah, Wilayah 1, pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Bukit Aman telah mengarahkan kesemua kontinjen di negeri-negeri yang tidak terjejas dengan banjir untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa banjir yang terjejas sehingga tengah hari tadi adalah seramai 49,866 daripada 14,469 keluarga.

Mereka ditempatkan di 400 pusat pemindahan sementara (PPS).