IPOH: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan, terdapat lebih lima sindiket dadah yang didalangi VVIP bergelar Datuk dan Tan Sri.

Beliau memberi jaminan, mereka tidak lagi boleh melarikan diri atau bersembunyi kerana pihak polis telah mempunyai data serta maklumat lengkap mengenai mereka.

"Perkara ini telah lama kita perhatikan. Hanya kita ada masalah untuk mendapatkan beberapa bukti yang boleh mengaitkan terus kepada mereka, tetapi insyaAllah kita akan dapat.

"Jadi, tidak ada alternatif lain di dalam negara kita apabila dadah menular begitu hebat sekali. Rampasan yang telah dilakukan oleh Jabatan Narkotik, berbilion, berjuta-juta setiap minggu.

"Setiap minggu mereka dengan gigihnya melaksanakan operasi demi operasi. Setiap minggu akan tercatat kejayaan menumpaskan satu atau pun dua sindiket," kata Abdul Hamid. 

Beliau ditemui selepas upacara penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli siri 1/2020 di Lapang Sasar Utama Briged Utara PGA  Ulu Kinta, di sini, hari ini.

BACA: Tiga kartel dadah bergelar Tan Sri dan Datuk dalang utama sindiket dadah di Malaysia - Polis 

Abdul Hamid berkata, pihaknya serius untuk mengambil tindakan terhadap VVIP itu bagi memastikan masalah dadah dapat dibenteras.

Menurutnya, usaha itu akan sia-sia sekiranya hanya lapisan di bawah iaitu pengedaran sahaja yang dibanteras sedangkan lapisan yang di atas terlepas.

Pada Ahad, media melaporkan terdapat tiga individu bergelar Tan Sri dan Datuk yang disyaki dalang utama kartel dadah di negara ini sedang dalam pemerhatian pihak polis.

Kesemua individu itu dikatakan menggunakan taktik licik dengan berselindung di sebalik perniagaan seperti perhotelan, perkapalan, pengangkutan dan besi bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.