Skip to main content

Malaysia

Lebih ramai wanita perlu jalani pemeriksaan payudara - Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 19 Sept - Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Saintifik Tahunan Ke-22 Asian Breast Disease Association (ABDA) 2026 di The Vertical, Connexion Conference & Event Centre hari ini. - fotoBERNAMA (2026)
Dr Wan Azizah menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Saintifik Tahunan Ke-22 ABDA 2026 di The Vertical, Connexion Conference & Event Centre hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Usaha untuk menggalakkan lebih wanita menjalani pemeriksaan payudara perlu dipergiatkan bagi memudahkan pengesanan dan rawatan awal sebelum penyakit payudara merebak kepada tahap yang lebih serius, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Isteri Perdana Menteri berkata ramai wanita masih teragak-agak untuk menjalani pemeriksaan payudara, manakala kecenderungan untuk mendapatkan rawatan hanya selepas keadaan kesihatan bertambah buruk terus menjadi cabaran.

“Ramai wanita kita tidak menjalani pemeriksaan. Ramai yang berasa enggan untuk seseorang memeriksa mereka, jadi kita perlu melakukan sesuatu untuk menggalakkan mereka melakukan saringan.

“Kita tidak mahu mereka mendapatkan rawatan hanya apabila penyakit itu telah mencapai tahap tiga atau empat, ketika itu penyakit mungkin sudah agak lewat (untuk dirawat),” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Saintifik Tahunan Asian Breast Disease Association (ABDA) 2026 di sini hari ini.

Mesyuarat dua hari yang bertemakan Strategising Multidisciplinary Management of Breast Diseases itu menghimpunkan kalangan profesional dan penyelidik penjagaan kesihatan dari Malaysia dan seluruh Asia untuk berkongsi pengetahuan dan mengukuhkan kerjasama dalam pengesanan, diagnosis dan rawatan penyakit payudara.

Wan Azizah berkata bagi Malaysia, melalui skim PeKa B40, penerima yang layak serta pasangan mereka berusia 40 tahun ke atas boleh menjalani saringan kesihatan secara percuma, termasuk pemeriksaan klinikal payudara.

Katanya wanita yang layak juga boleh mendapatkan saringan mamogram bersubsidi menerusi program yang dikendalikan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Beliau berkata usaha meningkatkan kesihatan bukan semata-mata tanggungjawab golongan profesional kesihatan malah juga memerlukan usaha bersepadu yang melibatkan institusi kesihatan, pertubuhan profesional, pembuat dasar, pemain industri, kumpulan pesakit serta masyarakat secara keseluruhannya.

“Kita juga mempunyai kebiasaan apabila masyarakat tidak mendapatkan bantuan sehingga keadaan menjadi terlalu lewat. Itu merupakan masalah yang perlu kita tangani,” katanya.

Pada masa sama, Wan Azizah turut menekankan kepentingan mempersiapkan generasi profesional kesihatan akan datang untuk mengurus bidang penjagaan payudara yang berkembang pesat.

Beliau berkata doktor junior, penyelidik, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu perlu diberikan bimbingan secara berstruktur serta pendedahan awal kepada amalan pelbagai disiplin, di samping digalakkan mengemukakan soalan, mengambil bahagian dalam audit klinikal dan menerajui inisiatif kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Pembangunan tenaga kerja muda kita memerlukan lebih daripada sekadar mengenai penguasaan ketepatan teknikal malah juga  bimbingan secara berstruktur dan pendedahan kepada amalan terbaik secara kolaboratif,” katanya.

Wan Azizah berkata kecerdasan buatan dan terapi bersasar termaju sedang mengubah bidang penjagaan payudara pada kadar yang belum pernah berlaku sebelum ini, namun inovasi teknologi mesti terus berpandu kepada pertimbangan manusia dan nilai ihsan.

“Inovasi semata-mata tidak dapat menyembuhkan. Tangan dan hati yang mengendalikan teknologi inilah yang membawa perbezaan. Teknologi tidak akan pernah dapat menggantikan sentuhan manusia,” katanya.

Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat itu buat kali keempat, yang dianjurkan bersama Persatuan Pajar Radiologi Malaysia serta disokong College of Radiology, Academy of Medicine of Malaysia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement