KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima peruntukan tambahan sebanyak RM98.715 juta untuk kerja naik taraf dan penyelenggaraan kuarters daif pasukan berkenaan di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ruji Ubi.

Beliau berkata peruntukan berkenaan adalah sebahagian daripada keseluruhan RM200 juta yang diperuntukkan kerajaan untuk pembaikan kuarters anggota penguat kuasa dan unit beruniform di bawah KDN.

"Daripada RM98.715 juta itu, polis Sabah akan menerima RM32.215 juta dan selebihnya dibahagikan kepada Sarawak dan Semenanjung.

"Pembaikan ini membabitkan kuarters polis yang daif termasuklah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Daerah (IPD), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM)," katanya berucap merasmikan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Perumahan Balai Polis Inanam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Sahabudin Abd Manan, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Hazani Ghazali dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.

Pada majlis itu, 102 unit kuarters masing-masing dua unit Kelas E dan 100 unit Kelas F, dewan serba guna, tadika dan taska serta bangunan sokongan lain diserahkan dan boleh didiami untuk kegunaan anggota polis di Balai Polis Inanam serta anggota di IPD Kota Kinabalu.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita sama ada KDN akan melaksanakan penyelenggaraan terhadap perumahan Jabatan Penjara Malaysia Negeri Sabah yang sudah usang, Ruji berkata perkara berkenaan akan dimaklumkan kepada Jabatan Penjara Malaysia.

"Jabatan Penjara Malaysia antara agensi yang menerima sebahagian daripada RM200 juta itu dengan pengagihan kira-kira RM40 juta kepada jabatan ini.

"Saya yakin Jabatan Penjara Malaysia Negeri Sabah adalah antara kuarters yang termasuk dalam pembaikan ini," katanya.

-- BERNAMA