Skip to main content

Hiburan

FFM35 di Istana Budaya bawa kelainan format juri - Hans Isaac

Hans berucap pada majlis perasmian dan pengumuman “Top 5” FFM35 di Menara FINAS, Petaling Jaya, malam tadi. - Gambar Bernama
Hans berucap pada majlis perasmian dan pengumuman “Top 5” FFM35 di Menara FINAS, Petaling Jaya, malam tadi. - Gambar Bernama

Advertisement

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memperkenal penambahbaikan signifikan dalam penganjuran Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) termasuk sistem penjurian baharu melibatkan bekas-bekas pemenang untuk menilai kategori “Top 5”.

Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac berkata, format baharu berkenaan direka khas bagi memenuhi aspirasi penggiat filem tempatan dan memastikan proses penilaian lebih telus serta diiktiraf oleh rakan sejawat dalam industri itu sendiri.

"Bila kami bincang selepas setiap penganjuran, kami mendengar luahan dan maklum balas penggiat industri mengenai FFM terdahulu... tugas kami di FINAS adalah untuk memberi apa yang industri inginkan.

"Untuk FFM35, selain juri utama, kita akan membawakan pemenang-pemenang FFM terdahulu untuk menilai karya dan persembahan calon 'Top 5' bagi memberikan pemarkahan mereka... ini bermakna orang industri sendiri yang memilih pemenang dalam kalangan mereka," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian dan pengumuman “Top 5” FFM35 di Menara FINAS di sini malam ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Datuk Bahria Mohd Tamil serta Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Dalam pada itu, Hans turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perhatian khusus terhadap sektor kreatif menerusi pembentangan Belanjawan 2027 terutama berkaitan cadangan pemotongan atau pelepasan duti hiburan dan insentif sokongan lain.

"Inisiatif seperti pelepasan duti hiburan adalah sesuatu yang amat didahagakan oleh pemain industri sejak sekian lama... ia memberikan semangat baharu kepada FINAS dan komuniti perfileman tempatan untuk memartabatkan karya negara ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, FINAS menyasarkan sekurang-kurangnya empat hingga lima karya filem tempatan bermutu tinggi dapat menembusi pasaran antarabangsa pada tahun depan menerusi peruntukan dan dana sokongan yang disediakan.

Hans berkata, pemenang Filem Terbaik FFM35 bakal menerima suntikan Dana Kandungan Digital bernilai RM1 juta bagi menggalakkan penghasilan karya berkualiti tinggi seterusnya.

Beliau turut memaklumkan, FFM35, yang menyaksikan lebih 80 penyertaan filem tempatan, akan berlangsung di Istana Budaya pada 21 Nov ini dan disiarkan secara langsung menerusi RTM TV2.

Sementara itu, Azmir berkata, Istana Budaya dipilih kerana lokasi berkenaan kembali dibuka dan mempunyai nilai sejarah yang signifikan buat penggiat seni selain bilangan penonton yang ingin menghadiri FFM semakin meningkat.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement