Skip to main content

Malaysia

Lee Lam Thye gesa rombakan segera terhadap protokol pengurusan haiwan

61735731976_LeeLamThye.jpg
Aktivis kebajikan haiwan Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataan pada Ahad berkata langkah lain termasuk penyeragaman teknik tangkapan yang berperikemanusiaan, larangan tegas terhadap rampasan harta persendirian dan penubuhan jawatankuasa pemantauan bebas. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu segera melaksanakan pembaharuan penting terhadap protokol pengurusan haiwan termasuk mengguna pakai pendekatan Perangkap, Mandul, Vaksinasi dan Lepas (TNVR) untuk mencegah kes kezaliman terhadap haiwan.

Aktivis  kebajikan haiwan Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataan pada Ahad berkata langkah lain termasuk penyeragaman teknik tangkapan yang berperikemanusiaan, larangan tegas terhadap rampasan harta persendirian dan penubuhan jawatankuasa pemantauan bebas.

“PBT di seluruh Malaysia mesti segera memansuhkan kitaran tangkap-dan-bunuh yang lapuk dan ganas, yang terbukti tidak berkesan selama beberapa dekad. TNVR satu-satunya kaedah yang disokong secara saintifik, berperikemanusiaan dan mampan untuk pengurusan populasi.

“Pihak PBT mesti mewajibkan dasar TNVR secara rasmi menerusi bekerjasama dengan NGO kebajikan haiwan yang diiktiraf dan rangkaian veterinar tempatan untuk menguruskan populasi haiwan terbiar secara berperikemanusiaan,” katanya.

Seruan itu susulan kematian seekor anjing peliharaan bernama Rocky di Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini yang mencetuskan kecaman masyarakat berhubung pengendalian haiwan secara agresif semasa operasi rutin penguatkuasaan. 

Lee juga menggesa pengharaman segera penggunaan jerat dawai yang kasar, gelung pencekik dan peralatan lain yang tidak berperikemanusiaan selain petugas penguat kuasa dan kontraktor pihak ketiga mesti menjalani latihan mandatori pengendalian haiwan tanpa keganasan di bawah seliaan ketat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Mengenai larangan tegas terhadap rampasan harta persendirian, beliau berkata sempadan operasi yang jelas mesti ditetapkan dan dikuatkuasakan.

“Petugas majlis dan kontraktor tidak boleh merampas haiwan dari kawasan kediaman persendirian atau sempadan rumah tanpa notis undang-undang bertulis dan perundingan dengan pemilik, menghormati hak harta dan undang-undang kecil tempatan,” katanya.

Lee juga mencadangkan supaya setiap PBT menubuhkan jawatankuasa pemantauan dan pelaporan bebas yang berdedikasi dan telus terdiri daripada aktivis kebajikan haiwan, profesional veterinar dan wakil perundangan untuk menyemak aduan awam, menyiasat dakwaan salah laku dan memastikan pematuhan Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Selain itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia, DVS, dan Majlis Bandaraya Diraja Klang untuk menjalankan siasatan segera, telus dan tanpa kompromi ke atas kematian Rocky bagi memastikan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement