WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, ditegur oleh seorang pengawal tentera ketika menghadiri sambutan Hari Veteran di Perkuburan Negara Arlington, selepas beliau dan beberapa pegawai yang bersamanya dilihat berbual serta bergambar berhampiran Makam Askar Tidak Dikenali.
Menurut laporan BBC, kejadian itu dirakam dalam sebuah video yang tular di media sosial.
Pengawal yang bertugas kemudian mengingatkan semua pengunjung supaya mengekalkan suasana yang senyap dan penuh hormat di kawasan memorial berkenaan, yang dianggap antara lokasi peringatan perang paling penting di AS.
Jurucakap Pentagon, Sean Parnell, berkata anggota tentera itu hanya menjalankan tanggungjawabnya dengan mengingatkan pengunjung mengenai peraturan dan adab yang perlu dipatuhi di kawasan tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa Hegseth dan Jabatan Pertahanan sentiasa menghormati pengorbanan anggota tentera yang berkhidmat untuk negara.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump, menghadiri upacara peletakan kalungan bunga sempena Hari Veteran di Arlington bersama Naib Presiden JD Vance dan beberapa pegawai kanan kerajaan.
Trump turut memuji Hegseth atas peranannya sebagai setiausaha pertahanan, sehari selepas usaha pihak Demokrat untuk menyingkirkannya menerusi proses pemecatan di Kongres gagal memperoleh sokongan mencukupi.