Skip to main content

Dunia

Lewis Hamilton gesa Israel buka semula lintasan Rafah untuk bantuan ke Gaza

Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton, mendengar penerangan daripada anggota Bulan Sabit Merah Mesir sambil ditemani Gabenor Sinai Utara, Khaled Megawer, ketika melawat lintasan sempadan Rafah antara Mesir dan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton, mendengar penerangan daripada anggota Bulan Sabit Merah Mesir sambil ditemani Gabenor Sinai Utara, Khaled Megawer, ketika melawat lintasan sempadan Rafah antara Mesir dan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Advertisement

KAHERAH: Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton, menggesa Israel membuka semula lintasan sempadan Rafah bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dari Mesir disalurkan ke Gaza yang kini berdepan keadaan semakin buruk akibat hujan lebat dan banjir di penempatan sementara.

Hamilton membuat gesaan itu selepas melawat bandar el-Arish di utara Mesir, berhampiran Gaza, serta meninjau pusat simpanan bantuan yang dikendalikan Bulan Sabit Merah Mesir, menurut laporan Al Jazeera.

Menerusi media sosial, pelumba Britain itu berkata penduduk Gaza amat memerlukan bantuan kemanusiaan ketika ini dan masyarakat antarabangsa perlu meningkatkan tekanan supaya bekalan berkenaan dapat dihantar kepada mereka.

Advertisement

Beliau turut memuat naik gambar lawatan ke gudang bantuan dan trak yang sarat dengan bekalan makanan tetapi masih menunggu kebenaran untuk memasuki Gaza.

Hamilton menyifatkan keadaan di Gaza sebagai satu ketidakadilan, sambil menegaskan penduduk wilayah itu berhak mendapat kebebasan, keselamatan dan layanan yang bermaruah.

Advertisement

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolak dakwaan bahawa kerajaannya sengaja melengahkan kemasukan bekalan musim sejuk ke Gaza.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 150,000 khemah yang disediakan oleh agensi kemanusiaan dan negara penderma masih menunggu kelulusan Israel untuk dibawa masuk ke wilayah berkenaan.

Ketua bantuan kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, berkata kelewatan penghantaran bekalan penting tidak boleh dijustifikasikan dengan alasan menunggu pembentukan kerajaan baharu Israel.

 

 

Must Watch Video

Advertisement