Sembilan lelaki yang sedang asyik bermain judi dalam kawasan khemah di kebun getah di Sungai Putar, Bedong, di sini, ditahan polis malam tadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad, kawasan khemah itu terletak di atas bukit menyebabkan anggota dan pegawai polis terpaksa berjalan kaki dalam keadaan gelap tanpa menggunakan lampu bagi mengelak dikesan.

Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Kedah telah mengintip kegiatan mereka lebih sebulan sebelum melakukan serbuan sekitar pukul 10.30 malam.

Hasil serbuan itu, polis merampas wang tunai berjumlah RM1,300, satu set daun terup, dua buah meja plastik, lapan buah kerusi plastik, lampu dan khemah.

Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 35 hingga 51 tahun.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.