GOPENG: Seorang lelaki yang bertindak agresif dengan menghayunkan parang dan sabit di atas sebuah kereta peronda polis di hadapan Balai Polis Gopeng di Kampar dekat sini, pada Rabu disahkan positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata hasil ujian saringan awal air kencing ke atas lelaki yang berusia lingkungan 61 tahun itu dikesan positif dadah jenis methamphetamine dan heroin.

Katanya suspek juga didapati mempunyai 16 rekod lampau membabitkan pelbagai jenis kesalahan jenayah dan narkotik.

Mengulas tentang kejadian berkenaan yang tular menerusi satu rakaman video, Mior Faridalathrash berkata lelaki berkenaan telah memasuki kawasan Balai Polis Gopeng dengan menaiki sebuah motosikal dan membawa parang dan sabit bersamanya pada jam kira-kira 8 pagi.

Ujarnya selepas suspek dilihat melibaskan parang dan sabit berkenaan di hadapan pintu masuk balai, pegawai polis yang bertugas telah bertindak menenangkan suspek selain menghubungi bantuan untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

“Berdasarkan maklumat awal, suspek telah mengamuk serta merampas motosikal milik orang awam di kawasan Pasar Awam Lawan Kuda. Kemudian suspek telah menuju ke Kawasan Perumahan Kopisan sebelum bertindak masuk ke Balai Polis Gopeng.

“Suspek telah bertindak keluar dari kawasan balai dan menuju ke Jalan Ipoh-Kuala Lumpur namun telah disekat oleh pihak polis di hadapan pagar balai polis tersebut.

“Sebuah kereta Peronda Polis Gopeng telah diletakkan di tengah jalan sebelum itu bagi tujuan menghalang daripada orang ramai melalui kawasan terbabit.

“Suspek kemudiannya meluru ke arah kenderaan tersebut dan memanjat bumbung kenderaan serta melibaskan parang dan sabit yang dibawa bagi mengelakkan dirinya didekati oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Insiden amuk di Gopeng


Mior Faridalathrash memberitahu pada jam 8.30 pagi sepasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Gopeng telah tiba bagi membantu pihak polis dan suspek berjaya ditahan selepas pihak bomba menyemburkan air ke arah suspek yang kemudiannya jatuh ke atas jalan raya.

Turut dirampas sebilah parang, sebilah sabit panjang sebuah motosikal dan empat anak kunci selain memaklumkan tiada kecederaan yang dialami anggota unit keselamatan semasa tangkapan dibuat.

Katanya lagi kes telah disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967,  Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu Mior Faridalathrash menasihatkan agar orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat .