PETALING JAYA: Keluarga seorang lelaki berusia 34 tahun yang merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) autisme kategori masalah pembelajaran memohon bantuan orang ramai untuk mengesannya selepas dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.
Menurut laporan polis yang dibuat ibunya, M Selvarani, mangsa dikenali sebagai R Athieswarar kali terakhir dilihat keluar dari rumah keluarganya di Jalan Medan 22, Taman Medan, kira-kira jam 7.30 malam pada 15 Ogos.
Selvarani berkata anaknya berbuat demikian selepas diminta bapanya membantu menolak motosikal ke luar pekarangan rumah sebelum ke pasar raya.
"Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba melarikan diri dan sehingga kini tidak diketahui keberadaannya," katanya dalam laporan polis yang dibuat pada hari sama.
Beliau berkata Athieswarar tidak membawa sebarang barang peribadi atau dokumen pengenalan diri ketika meninggalkan rumah.
Mangsa mempunyai ketinggian kira-kira 167 sentimeter (cm), berat 50 kilogram (kg), berkulit coklat dan berambut pendek.
Berdasarkan maklumat diterima keluarga, Athieswarar kali terakhir dilihat kira-kira jam 7 pagi Sabtu di kawasan Jambatan Motorola menghala ke Klang dengan memakai baju kuning berlengan hitam dan seluar pendek.
Pihak keluarga turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan Athieswarar memandangkan dia merupakan individu autisme yang tidak boleh bertutur.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Athieswarar diminta menghubungi balai polis berhampiran atau keluarga mangsa di talian 016-2435655.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar, mengesahkan polis menerima laporan berhubung kehilangan mangsa dan usaha mengesannya sedang dijalankan.