KLUANG: Seorang lelaki dan bekas isterinya antara empat individu ditahan dipercayai terlibat beberapa kes samun dan pecah masuk kedai di sekitar daerah ini dan Mersing serta Rompin di Pahang.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata empat individu berkenaan yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 38 tahun ditahan dalam empat serbuan berasingan di daerah ini dan Mersing, 10 pagi hingga 3 petang, Jumaat lepas.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa barangan dipercayai hasil samun termasuk emas dan sebuah kereta Proton Gen-2 dianggar bernilai RM25,000.

"Kesemua suspek yang positif terhadap dadah jenis Methamphetamine itu dipercayai aktif dalam kegiatan berkenaan sejak Ogos lepas.

"Polis percaya berjaya menyelesaikan tujuh kes samun dan pecah masuk kedai iaitu lima kes di Kluang dan satu kes masing-masing di Mersing dan Rompin dengan penahanan mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang hari ini.

Bahrin berkata modus operandi kumpulan itu yang digelar 'Geng Triton' ialah menyewa pacuan empat roda milik persendirian dari Johor Bahru secara harian.

"Kumpulan ini kemudian menyasarkan premis kediaman dan perniagaan (untuk disamun dan pecah masuk) menggunakan kenderaan itu," katanya.

Beliau berkata pihaknya sedang memburu seorang lagi individu dipercayai ahli kumpulan yang masih bebas, dikenali sebagai M. Munisiran, 32, beralamat terakhir di No 24, Jalan Jati Taman Sri Plentong, Masai, Pasir Gudang.

Kesemua empat individu berkenaan, katanya direman hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA