Lelaki buat laporan palsu disamun untuk elak bayar wang majikan

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu kepada penjawat awam.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki membuat laporan palsu mendakwa disamun bagi mengelak daripada membayar wang berjumlah RM5,000 milik majikannya yang telah digunakan, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata lelaki itu membuat laporan pada 10.06 pagi di ibu pejabat polis daerah mendakwa disamun dua lelaki warga asing yang bermotosikal di Jalan Tanjong 1, Ampang Jaya.
"Suspek mendakwa pembonceng motosikal telah mengacukan pisau sebelum melarikan beg silang mengandungi barangan peribadi dan wang milik majikan yang disimpan dalam raga motosikalnya.
"Bagaimanapun, siasatan lanjut pada hari sama mendapati kejadian samun itu tidak berlaku dan laporan tersebut palsu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu kepada penjawat awam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


