KUCHING: Seorang lelaki tempatan yang cedera dipercayai akibat terkena dua das tembakan ketika cuba melarikan diri menggunakan kenderaan yang dicuri, telah ditahan polis di Hospital Bentong, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dalam kenyataannya hari ini berkata suspek berusia 38 tahun itu, ditahan kira-kira jam 1.00 tengah hari semalam semasa mendapat rawatan di hospital tersebut.

Beliau berkata seorang wanita tempatan berusia 34 tahun, yang ada bersama lelaki yang cedera di lengan kanan dan bahagian pinggang sebelah kanannya itu, turut ditahan.

"Semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai lapan rekod kesalahan mencuri kenderaan, satu rekod kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan satu rekod kesalahan cubaan membunuh orang," katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kes kecurian sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Fortuner, yang dilaporkan kira-kira pukul 1.09 pagi pada 4 Mac di Pasar Baru Tatau, kira-kira 565 km ke utara dari sini.

Susulan laporan itu, Mohd Azman berkata sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tatau telah terserempak dengan Toyota Fortuner yang disyaki dicuri itu dan sebuah lagi kenderaan 4WD jenis Toyota Hilux yang dalam keadaan mencurigakan di Km 82, Jalan Sibu-Bintulu.

"Ketika (anggota polis) menghampiri untuk pemeriksaan, tiba-tiba kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Fortuner itu memecut laju ke arah pasukan polis.

"Pasukan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah hadapan dan tayar kedua-dua tayar kenderaan tersebut, dengan tujuan untuk menghentikan tindakan suspek namun kesemua kenderaan itu berjaya meloloskan diri," katanya.

Mohd Azman berkata kedua-dua kenderaan itu, turut merempuh sekatan jalan raya yang didirikan pasukan dari Balai Polis Selangau kira-kira 300 meter dari tempat kejadian awal, dan hampir melanggar seorang anggota polis, sebelum Toyota Fortuner itu ditemukan terbabas di tepi jalan.

"Suspek-suspek berjaya melarikan diri dengan menaiki kenderaan Toyota Hilux," katanya sambil menambah kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, kerana mencuri kenderaan motor dan Seksyen 307 Kanun yang sama kerana cubaan membunuh.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut untuk menghubungi Insp Mohd Hafez A. Razak di talian 012- 9677525.

-- BERNAMA