Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kulim hari ini atas pertuduhan mengugut mahu membunuh anak angkatnya sendiri.

Tertuduh, Rushidi Saad, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Balqis Abdul Halim, sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mahu membunuh Muhammad Syafiq Shamsul Anuar, 20, di sebuah rumah di Taman Serai Wangi, Padang Serai, kira-kira jam 8 malam 21 September lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Balqis Abdul Halim kemudian menetapkan 4 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.