GEORGE TOWN: Jabatan Perikanan (DOF) akan bekerjasama dengan Aquaria KLCC bagi mengenal pasti spesies ikan yang disyaki piranha di Empangan Klau, Raub, Pahang melalui analisis asid deoksiribonukleik (DNA) atau DNA persekitaran (eDNA).
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata kerjasama itu akan memanfaatkan spesimen hidup piranha serta maklumat DNA yang dimiliki pihak berkaitan bagi membantu menentukan identiti sebenar ikan berkenaan.
“Kami tidak dapat buat pengesahan sama ada ia piranha ataupun pacu kerana kami tiada spesimen fizikal. Jadi, saya berharap kerjasama dengan pihak Aquaria KLCC ini dapat membantu untuk merungkai perkara ini pada masa akan datang, termasuk pengecaman pada peringkat genus serta spesies,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Pendidikan Marin Teluk Bahang di sini hari ini.
Beliau berkata analisis awal yang dilakukan bersama Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Glami Lemi berdasarkan rakaman video yang diperoleh mendapati ciri morfologi ikan berkenaan lebih menghampiri piranha, namun pengesahan muktamad tidak dapat dilakukan tanpa spesimen fizikal.
Adnan berkata Jabatan Perikanan Pahang telah berhubung dengan nelayan darat di Empangan Klau agar mereka menyimpan serta menyerahkan kepada jabatan sekiranya menemukan atau menangkap ikan yang menyerupai piranha bagi membolehkan pemeriksaan, termasuk terhadap morfologi, sisik dan giginya.
Menurut Adnan, terdapat juga maklumat daripada nelayan darat mengenai penemuan ikan yang dikatakan menyerupai piranha tetapi spesimen berkenaan telah dibuang.
“Setakat ini, DOF belum mempunyai bukti konkrit mengenai kewujudan populasi spesies itu di Empangan Klau, malah tidak menerima sebarang laporan kematian luar biasa spesies ikan tempatan atau kejadian pemancing atau orang awam diserang ikan yang dikaitkan dengan piranha.
“Sekiranya ikan berkenaan adalah piranha, spesies yang berasal dari lembangan Amazon itu secara teorinya boleh beradaptasi dan membiak dalam ekosistem tempatan kerana habitat asalnya mempunyai iklim khatulistiwa yang hampir sama dengan Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, rakaman video memaparkan seekor ikan yang didakwa menyerupai piranha ditangkap seorang nelayan darat di Empangan Klau, sekali gus mencetuskan kebimbangan netizen mengenai kemungkinan spesies asing itu berada di empangan berkenaan.
Siasatan Jabatan Perikanan Pahang mendapati ikan berkenaan ditangkap menggunakan jala oleh seorang penduduk pada 26 Ogos lepas, sebelum rakaman video mengenainya dikongsikan menerusi kumpulan WhatsApp.
Sementara itu, Adnan berkata DOF akan mengadakan pertemuan dengan pengendali platform dalam talian susulan dakwaan masih terdapat spesies ikan larangan yang dijual menerusi platform berkenaan.
Beliau berkata pemilikan spesies ikan larangan memerlukan kelulusan khas DOF manakala spesies hidup yang dibawa masuk dari luar negara, termasuk yang dibenarkan perlu disertakan sijil kesihatan bagi memastikan ia bebas daripada penyakit yang boleh menjejaskan ekosistem tempatan.
“DOF juga akan meneruskan pemeriksaan di premis ikan hiasan di seluruh negara bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan berkaitan pemilikan dan pemeliharaan spesies ikan larangan,” katanya.
-- BERNAMA