ALOR SETAR: Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas pertuduhan merogol anak tirinya yang juga seorang Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 19 tahun, pada 5 Jun lalu.

Tertuduh Mohd Izwan Abdul Rani, 39 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Harmi Thamri Mohamad@Shaharudin.

Tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 19 tahun itu yang juga anak tirinya di ruang tamu sebuah rumah di Pendang 5 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian memerintahkan tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh berikutan dia dan mangsa serta ibunya masih tinggal di rumah yang sama dan dibimbangi akan mengganggu mangsa.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Julai depan bagi penyerahan dokumen.