AYER KEROH: Tindakan durjana seorang lelaki yang tergamak menampar muka ibu kandung, mencederakan anak saudara serta mengugut untuk menoreh muka adik kandungnya, membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, Mohmad Saufian Abu Noor, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menampar muka ibu kandungnya yang berusia 63 tahun berkali-kali sehingga menyebabkan kecederaan kepada warga emas itu.

Tertuduh yang baharu dibebaskan dari penjara atas kesalahan mencuri kenderaan mewah pada Mei lalu turut didakwa mendatangkan kecederaan kepada anak saudara perempuannya yang berusia 10 tahun dengan cara menampar pipi dan menarik rambut mangsa.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya dengan cara mengugut hendak menoreh muka adik kandung perempuannya yang berusia 32 tahun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membolehkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tengah, Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah, antara pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari, 15 Disember lalu.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira mangsa dalam kes tersebut merupakan ibu kandung, anak saudara dan adik kandung tertuduh.

Ujarnya, tertuduh juga mempunyai banyak rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan memohon jaminan sebanyak RM30,000 diberikan terhadap tertuduh sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Sharda Shienda pada penghakimannya kemudian tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh selain menetapkan 2 Februari depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tertuduh tidak diwakili peguam.