Seorang lelaki berusia 53 tahun dari Taman Kajang Utama, Selangor, E Muniandy dijumpai mati di dalam sebuah bilik motel di Jalan Kelab Cinta Sayang, Taman Bandar Baru dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Saifi Abdul Hamid berkata mangsa dikatakan mendaftar masuk bersama dua lelaki pada pukul 6.10 petang semalam sebelum kedua-dua lelaki itu dilihat bergegas meninggalkan bilik motel berkenaan kira-kira dua jam kemudian.

"Dua jam selepas mereka bertiga masuk ke bilik motel terbabit, seorang pekerja motel terdengar bunyi bising... kira-kira lima minit selepas kedua-dua suspek meninggalkan bilik itu, pekerja motel menemui mangsa dalam keadaan mengiring di dalam bilik air dengan jerutan wayar pada lehernya, " katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital yang tiba di motel itu kemudian, katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifi berkata susulan kejadian terbabit polis menahan dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an kira-kira enam jam kemudian, di kawasan perumahan berhampiran lokasi kejadian.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kedua-dua suspek yang bekerja sendiri akan direman selama tujuh hari, bermula hari ini hingga 11 Mac.

"Sementara itu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat," katanya.

-- BERNAMA