KOTA KINABALU: Seorang lelaki Timur Leste dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana merogol seorang remaja bawah umur dikenalinya menerusi media sosial TikTok, tahun lepas.
Hakim Monica Linsua membuat keputusan itu selepas Rafinus Bata Tukan, 30, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Advertisement
Monica memerintahkan tempoh penjara bermula daripada tarikh tangkap, iaitu 19 Dis tahun lepas dan lelaki itu dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai hukuman.
Menurut fakta kes, pada 7 Dis 2025 seorang individu membuat laporan polis tentang kehilangan anak perempuannya pada 6 Dis selepas dikatakan keluar mengikut tertuduh yang baharu dikenali sebulan melalui TikTok, dengan menaiki motosikal.
Mangsa yang berusia 15 tahun sembilan bulan semasa kejadian kemudian memberitahu bapanya bahawa lelaki itu telah merogolnya di bilik sewa tertuduh di Inanam pada kira-kira 7 malam 7 Dis.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shaferrah Mad Iskim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA