LABUAN: Seorang lelaki dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi Labuan di sini semalam, selepas didapati bersalah memukul bayi perempuannya sehingga menyebabkan kematian pada 2018.

Hakim Leonard David Shim memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 18 Ogos 2018.

Maidin Ibnu Hashim, 56, bekas penjawat awam, mengaku tidak bersalah membunuh bayi perempuan berusia sembilan bulan antara 10 hingga 13 Ogos 2018 di rumah sewanya di Kampung Gersik Lama, ketika kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Labuan pada 25 Jan 2022.

Pertuduhan itu kemudian dipinda daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh) kepada Seksyen 304 (a) kanun sama (membunuh tanpa niat).

Pihak pendakwaan memanggil 15 saksi sepanjang perbicaraan berlangsung bermula 28 Feb 2022.

Pada 15 Mei 2022, hakim mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Maidin dan memerintahkan tertuduh membela diri.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kes itu dibuka pada 15 Ogos 2018 apabila bedah siasat menunjukkan kematian bayi itu disebabkan kecederaan parah di kepala, kecederaan tisu lembut di muka, melecur pada jari tangan dan kaki serta bronkopneumonia.

Lelaki itu ditahan pada 16 Ogos 2018 dan pada mulanya didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Labuan pada 29 Ogos 2018, sebelum ditahan reman di Penjara Kepayan, Kota Kinabalu, Sabah sementara menunggu laporan penuh siasatan.

Kes itu kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi Labuan kerana hanya mahkamah tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes pembunuhan.

Motif kejadian disebabkan tertuduh mengesyaki kanak-kanak itu bukan anaknya. Isterinya kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.

-- BERNAMA