KUALA LUMPUR: Bekas jurujual kereta dipenjara setahun dengan dua sebatan serta didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyalahgunakan wang RM415,000 berhubung urusan penjualan kereta Bentley Continental GT milik seorang peniaga warga China, tahun lepas.

Hakim Kamarudin Kamsun turut memerintahkan Yap Hong Yee, 35, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 9 Sept lepas selain dia akan dipenjara tiga bulan, jika gagal membayar denda.

Yap didakwa menyalahgunakan wang RM415,000 yang dimasukkan ke dalam akaun banknya hasil jualan kenderaan milik Fan Zhongyang, 25, di Persiaran Mewah Bandar Tun Razak, Cheras di sini antara 3 hingga 25 Nov 2022.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif Ahijman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, mengambil kira nilai kerugian dialami mangsa.

"Dalam kes ini, kenderaan itu bernilai RM500,000 dan mangsa telah mengalami kerugian kerana kenderaan berkenaan telah dijual pada harga RM415,000," katanya.

Yap yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia perlu menjaga seorang anak dan bapanya.

Mengikut fakta kes, mangsa telah berurusan dengan tertuduh dalam urusan jual beli kereta jenis Bentley Continental GT bernilai RM500,000 dan kereta itu dihantar kepada tertuduh untuk dijual.

Pada Februari tahun ini, tertuduh memaklumkan kereta itu telah mempunyai pembeli serta meminta mangsa menyerahkan nombor akaun banknya sebagai pembayaran wang pendahuluan, namun mangsa tidak menerima wang terbabit dan mengesyaki dia telah ditipu tertuduh.

Berikutan itu, mangsa meminta tertuduh memulangkan kereta berkenaan dan semakan nombor pendaftaran kenderaan itu mendapati kereta telah bertukar milik kepada pihak lain dengan menggunakan nombor pendaftaran lain.

Hasil siasatan polis mendapati tertuduh telah menyalahgunakan RM415,000 yang dimasukkan ke dalam akaun banknya.

-- BERNAMA