SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai mendera anaknya sendiri menggunakan rotan, batang penyapu dan senduk plastik.

Perbuatan itu berjaya dikesan guru kelas murid Tahun Satu itu selepas melihat keadaan pelik padanya yang sering memakai jaket ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan yang memaklumkan perkara itu berkata, sebelum itu pihaknya telah menerima satu laporan mengenainya yang dibuat seorang individu yang enggan dikenali pada petang Rabu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa kemudiannya mendapati terdapat kesan lebam baharu dan lama di bahagian kepala, leher serta bahagian badan murid terbabit.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan doktor mengesahkan terdapat kesan penderaan terhadap mangsa.

“Mangsa kini ditempatkan di wad hospital dan dalam pemantauan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Zaidy lagi, siasatan mendapati mangsa tinggal bersama bapa kandung dan ibu tiri sejak setahun yang lalu.

Tambahnya, mangsa juga merupakan anak tunggal dan baru bersekolah di sebuah sekolah di Jalan Pekan Lama.

“Polis telah menahan bapa kandung mangsa dan siasatan membawa kepada pengakuan telah memukul mangsa sejak dua bulan yang lalu kerana mangsa tidak mendengar kata dan hyperactive,” ujarnya.

Suspek kemudiannya direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.