MALAYSIA
64 peratus syarikat pengendali kenderaan perdagangan gagal patuhi JISA

Aedy Fadly ditemui pemberita pada Perhimpunan Setia Khas di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa hari ini. - Gambar Bernama
KOTA BHARU: Sebanyak 64 peratus syarikat pengendali kenderaan perdagangan yang diaudit dalam Ops Khas Garis Panduan Sistem Audit Keselamatan (JISA) dikenal pasti gagal mematuhi perkara-perkara mandatori di bawah JISA, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli.
Beliau berkata Ops Khas JISA yang bermula pada 23 Jun lepas dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara melibatkan pengauditan ke atas 133 syarikat pengendali kenderaan perdagangan.
"Daripada jumlah itu, 85 syarikat didapati gagal mematuhi garis panduan JISA, manakala hanya 48 syarikat lulus audit berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Setia Khas JPJ di sini hari ini.
Aedy Fadly berkata pecahan syarikat yang gagal melibatkan 43 syarikat pengendali lori dan 42 syarikat bas persiaran serta bas ekspres.Beliau berkata antara ketidakpatuhan utama yang dikesan termasuk kegagalan melantik pegawai atau penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan, tiada pemasangan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) pada semua kenderaan serta kegagalan membuat pemantauan GPS secara berkala.
Menurut Aedy Fadly, banyak syarikat juga tidak merekodkan syarat pemanduan kurang lapan jam sehari serta rehat 30 minit bagi setiap empat jam pemanduan.
"Terdapat juga syarikat yang tidak menyediakan pelan tindakan keselamatan dan gagal memaparkan nombor talian penting serta nama pegawai bertanggungjawab pada kenderaan bagi tujuan aduan.
"JPJ akan menyerahkan senarai syarikat yang gagal dalam audit JISA kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan lanjut termasuk cadangan penggantungan atau pembatalan lesen pengendalian syarikat berkenaan," katanya.
Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata JPJ tidak berkompromi dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang melanggar peraturan serta mengabaikan aspek keselamatan.
Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan JPJ dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan memperkukuh integriti sistem pengangkutan negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami