KEMAMAN: Seorang penganggur direman selama enam hari bermula Ahad selepas disyaki mencabul dua anak saudaranya yang berusia empat dan lima tahun dalam kejadian di Chukai, di sini.

Perintah tahanan reman ke atas suspek dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin di Mahkamah Majistret di sini bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, suspek yang berusia 45 tahun itu ditahan selepas pihak polis menerima laporan berhubung perbuatan tersebut oleh pengadu.

"Pihak polis menahan suspek sekitar jam 4.50 petang Sabtu selepas menerima laporan oleh salah seorang ahli keluarga mangsa.

"Berdasarkan laporan itu, kanak-kanak tersebut mengadu sakit pada bahagian kemaluannya selepas bapa saudaranya membawa masuk ke dalam sebuah bilik dan melakukan perbuatan terkutuk itu," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Hanyan berkata, kanak-kanak itu telah dibawa ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan lanjut

Katanya, pihak polis turut memanggil ahli keluarga mangsa bagi memberikan keterangan berhubung kes berkenaan.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian