NILAI: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai mencabul kehormatan seorang artis wanita popular di Dataran Nilai, malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Abdul Malik Hasim berkata, kejadian kira-kira pukul 11.05 malam itu berlaku ketika artis berkenaan selesai melakukan persembahan nyanyian. 

“Pihak polis menerima aduan daripada seorang penyanyi perempuan berusia 26 tahun menyatakan bahawa ketika kejadian dia berada di bilik khas tetamu di belakang pentas dataran berkenaan dan baharu selesai membuat persembahan.

“Penyanyi itu kemudian didatangi suspek yang meminta kebenaran untuk berswafoto dengannya yang mana setelah selesai swafoto, lelaki tersebut telah menarik serta menggenggam tangan dan seterusnya mencium tangan mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, terkejut dengan tindakan berkenaan, penyanyi wanita itu terus menjerit sebelum suspek bertindak melarikan diri.

Suspek bagaimanapun berjaya ditangkap oleh penganjur sebelum diserahkan kepada anggota polis yang bertugas di festival berkenaan.

“Suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan serta tidak mempunyai rekod jenayah dan permohonan reman ke atas suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Seremban.

“Mahkamah membenarkan suspek direman selama tiga hari sehingga Rabu ini,” tambahnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.