TAIPING: Polis menahan seorang lelaki berusia 32 setelah dipercayai terbabit dalam kes samun melarikan kenderaan serta mencabul kehormatan seorang wanita warga emas di Pokok Assam, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu menerusi panggilan MERS 999 sekitar jam 8.40 pagi pada Selasa.

Katanya, kejadian berkenaan berlaku ketika mangsa yang berusia 75 tahun itu berseorangan di halaman rumahnya.

"Suspek disyaki seorang lelaki yang tidak dikenali menutup muka dengan kain dan telah menarik mangsa masuk ke dalam rumah, kemudian mencabul mangsa.

"Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki kenderaan jenis Honda CRV milik menantu lelaki mangsa yang berusia 55 tahun, selain turut melarikan barang berharga serta wang tunai dengan nilai kerugian lebih RM5,000.

"Bagaimanapun, kenderaan tersebut telah dijumpai ditinggalkan kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi kejadian," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Menurut Razlam, susulan daripada kejadian itu pihak polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki pada hari sama, kira-kira jam 3.30 petang.

"Suspek berusia 32 tahun dan tidak bekerja, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 392/397/354 Kanun Keseksaan.

"Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis heroin," katanya.

Tambahnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai 16 Ogos hingga Selasa depan.

Beliau turut menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes jenayah supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu membanteras kejadian jenayah di daerah Taiping khususnya.