IPOH: Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah kereta di Gerbang Malam, di sini, yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, suspek berusia 48 tahun itu diberkas kira-kira jam 1 pagi Rabu.
Advertisement
Menurutnya, suspek mempunyai lapan rekod jenayah lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Suspek telah direman dan akan dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Terdahulu, beliau berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian khianat melibatkan kerosakan sebuah kenderaan di kawasan Gerbang Malam.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 11.40 malam pada Selasa apabila seorang lelaki tempatan memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan sebuah kereta jenis Perodua Bezza menggunakan batu.
Menurutnya, kejadian berlaku selepas perselisihan berkaitan perkhidmatan penggilap kenderaan yang tidak diminta.
Ujarnya, rakaman kejadian itu kemudiannya tular di media sosial melalui akaun Facebook ‘Iesya Toh’.
Muhammad Najib menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap individu yang menawarkan perkhidmatan tanpa diminta di kawasan awam.