ALOR SETAR: Kegiatan seorang lelaki memperdaya orang ramai dengan menjual dokumen palsu merentas negeri terbongkar selepas suspek berkenaan ditahan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, suspek berusia 23 tahun itu berjaya ditahan di Taman Maju, Jasin, Melaka.

Katanya, kegiatan suspek terbongkar apabila dia mengiklankan 'perkhidmatan' itu di aplikasi WeChat, sebelum tular dan diperoleh seorang pegawai polis yang berkhidmat di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

“Pegawai polis itu menerima mesej WhatsApp yang terdapat gambar surat rasmi panggilan saksi di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah dan semakan mendapati ia dokumen dengan nombor rujukan JSJK/KS/146/2020 bertarikh 12 Mei 2021, serta pernah dikeluarkannya kepada saksi yang beralamat di Ipoh, Perak.

"Ia sebagai kebenaran untuk saksi hadir bagi membantu siasatan kes yang sedang dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Elias memaklumkan bagaimanapun butiran penerima, pegawai penyiasat dan tandatangan dalam surat itu sudah dikaburkan namun, mendapati dokumen dibuat atas nama individu beralamat di Johor dan dimuat naik dalam akaun WeChat ID atas nama Zhixian.

“Dalam pautan di akaun WeChat itu suspek mendakwa surat terbabit boleh digunakan untuk tujuan merentas negeri dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dan dijual dengan harga antara RM300 hingga RM800,” katanya.

Jelasnya, pegawai polis tersebut yang merupakan pengadu mengesyaki suspek membuat pindaan ke atas butiran penerima dan memalsukan surat itu bagi tujuan penipuan.

Justeru, katanya pengadu telah membuat laporan polis pada 2 Jun lalu dan suspek telah ditangkap pada keesokan harinya.

Katanya, siasatan lanjut kes itu masih berjalan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.