KUALA LUMPUR: Kepelbagaian budaya dan latar belakang masyarakat di Malaysia perlu dilihat sebagai kekuatan dalam membentuk identiti negara bangsa, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institute for Development Studies (IDS) Sabah, Datuk Dr Ramzah Dambul.
Menurut beliau, pembentukan identiti nasional memerlukan satu titik persamaan yang dapat menyatukan rakyat, namun dalam masa sama kepelbagaian budaya dan warisan perlu terus diraikan sebagai sebahagian daripada ciri masyarakat majmuk negara ini.
Katanya, kompromi penting dalam membentuk identiti bersama, termasuk penerimaan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tanpa menafikan kepelbagaian yang menjadi sebahagian daripada warisan Malaysia.
“Pada pandangan saya sejak Malaysia dibentuk di mana ada penyertaan dari Sabah dan Sarawak, saya fikir bahawa konsep bagaimana kita membuat identiti negara bangsa sudah betul, di mana kita mempunyai beberapa dasar misalnya Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan.
“Dengan kepelbagaian yang ada terutama sekali perbezaan yang ada di Sabah dan Sarawak, memanglah kita kata bahawa barangkali bahasa yang dipilih atau identiti yang dipilih itu tidaklah mewakili (keseluruhan masyarakat).
“Tetapi akhirnya pada saya untuk kita menjadi sebuah negara yang ada identiti, kita (perlu) keluar daripada domain kita, kita boleh kata ini adalah Malaysia, kami orang Malaysia, maka kita perlu ada kesatuan daripada segi identiti itu dan disini kompromi diperlukan,” katanya.
Dr Ramzah berkata demikian semasa program Dialog Negara Bangsa yang mengupas tajuk Kepelbagaian Sebagai Kekuatan: Membina Kesatuan, Memperkukuh Negara Bangsa, yang disiarkan dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di Astro AWANI, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata, perkembangan media sosial turut memainkan peranan dalam memperkukuh kefahaman rakyat terhadap kepelbagaian budaya di negara ini.
Beliau menjelaskan, media sosial kini membolehkan masyarakat daripada pelbagai latar berkongsi budaya dan warisan mereka secara lebih terbuka.
“Jadi dalam konteks itu sebenarnya walaupun ramai orang macam agak skeptik dengan media sosial, dia kata inilah punca perpecahan kita semua, tetapi saya rasa bila media massa telah diliberalisasikan supaya capaian dia lebih luas misalnya dengan media sosial pada saya itulah sebenarnya (sebab) kepelbagaian, keterangkuman dan kesepaduan kita semakin erat.
“Saya bagi contoh kalau dulu pada masa kita cuma ada televisyen.. dalam (siaran) televisyen (ketika itu) kita cuma nampak joget, inang, dikir barat sampaikan orang Sabah di pedalaman pun dia tahu (tentang) dikir barat dari Kelantan, boria dari Pulau Pinang dan zapin dari Johor.
“Tetapi tiada siapa pun tahu pasal sumazau dari Sabah, ngajat dari Sarawak. Tetapi sekarang ini melalui media sosial sebab kita sudah demokrasikan media, (jadi) semua orang boleh jadi pencerita (dan) itu sudah kita faham,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, perkembangan media sosial yang semakin terbuka itu secara tidak langsung membantu masyarakat saling mengenali dan memahami kepelbagaian yang wujud dalam negara.
Justeru, beliau berpandangan kepelbagaian tidak seharusnya dilihat sebagai punca perpecahan, sebaliknya boleh menjadi asas untuk membina kesatuan dan memperkukuh identiti bersama sebagai rakyat Malaysia.