BATU PAHAT: Lelaki Islam yang menggoda isteri orang di Johor masih boleh didakwa dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang syariah negeri berkenaan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, Seksyen 36 Enakmen Jenayah (Syariah) Negeri Johor 1997 masih terpakai dan boleh digunakan untuk mendakwa individu yang melakukan perbuatan itu.

"Mengikut Seksyen 36, memujuk lari seorang perempuan bersuami atau membawanya keluar dari satu tempat atau dengan cara mempengaruhinya meninggalkan kediaman yang ditentukan oleh suaminya adalah salah.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga tempoh tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Mahkamah boleh memerintahkan perempuan tersebut kembali taat kepada suaminya," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Batu Pahat Berselawat di Masjid Jamek Taman Sri Sulung, di sini pada malam Ahad.

Pada 21 Disember lepas, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata individu yang melakukan kesalahan itu masih boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang jenayah syariah negeri berkenaan.

Dianggap sebagai tidak berperlembagaan, Mahkamah Persekutuan pada 15 Disember lepas memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan selepas mendapati ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana mendiskriminasikan secara tidak sah hanya atas alasan jantina yang bertentangan dengan Perkara 8(2).

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Panel itu membuat ketetapan berkenaan selepas membenarkan permohonan seorang ahli perniagaan yang merujuk persoalan berhubung perkara tersebut iaitu sama ada Seksyen 498 tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 8(1)(2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kesaksamaan di sisi undang-undang dan diskriminasi jantina. - Sinar Harian