PUTRAJAYA: Seorang peguam hari ini memaklumkan Mahkamah Persekutuan bahawa peruntukan di bawah Kanun Keseksaan yang menjenayahkan perbuatan lelaki menggoda isteri orang adalah tidak berperlembagaan dan perlu dimansuhkan.

Jayarubbiny Jayaraj berkata Seksyen 498 Kanun Keseksaan melanggar hak wanita bagi kesaksamaan di sisi undang-undang kerana ia hanya memberikan hak kepada suami untuk memulakan prosiding jenayah terhadap individu yang telah mengganggu rumah tangganya.

Peguam itu berkata peruntukan itu sepatutnya diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan dan dimansuhkan.

Beliau berhujah peruntukan itu adalah bersifat diskriminasi terhadap wanita yang sudah berkahwin kerana menganggap mereka sebagai hak milik suami dan terdedah kepada penderaan oleh pasangan.

Katanya pindaan terhadap Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan perkataan 'jantina' membuktikan bahawa Parlimen, sebagai penggubal undang-undang di Malaysia, telah memberi isyarat bahawa wanita dan lelaki hendaklah dilihat sebagai sama rata serta mempunyai hak yang sama.

Jayarubbiny mewakili seorang ahli perniagaan yang merujuk persoalan undang-undang itu kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan. Turut mewakili lelaki itu ialah peguam Jay Moi Wei Jiun dan Puteri Batrisyia Abdul Latif.

Persoalan undang-undang yang dirujuk ialah sama ada Seksyen 498 Kanun Keseksaan adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 8(1)(2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kesamarataan di sisi undang-undang dan diskriminasi jantina.

Kes itu didengar oleh panel lima hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Lelaki berusia 53 tahun itu telah didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2020 atas pertuduhan menggoda isteri orang di sebuah pangsapuri di Selangor pada 2018 selepas suami wanita itu membuat laporan polis.

Dia didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Pada Mac lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan lelaki itu untuk merujuk persoalan undang-undang tersebut kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim, yang dibantu oleh Eyu Ghim Siang, berhujah bahawa Seksyen 498 adalah berperlembagaan dan tidak bercanggah dengan Perkara 8(1)(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata peruntukan itu tidak bersifat diskriminasi dan wanita berkahwin tidak boleh diklasifikasikan dalam kategori yang sama dengan lelaki terutama dalam aspek perlindungan daripada keganasan dan jenayah kerana ia mempunyai kriteria berbeza.

Katanya Seksyen 498 adalah satu perundangan dengan matlamat bagi melindungi hak suami dalam mengekalkan perkahwinan dengan si isteri apabila pihak ketiga telah menggoda atau merampasnya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Tengku Maimun memaklumkan bahawa mahkamah menangguhkan keputusannya.

-- BERNAMA