KULAI: Seorang lelaki warga tempatan yang terlibat dalam kegiatan penghantaran daun ketum ditahan pihak polis menerusi pemeriksaan yang dibuat ke atas sebuah kenderaan di Tol Senai Utara, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yow berkata, pemeriksaan pada jam 10.30 pagi itu turut menemukan 22 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 252 kilogram daun ketum yang dianggarkan bernilai RM2,520.

“Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 28 tahun itu mengaku terlibat sebagai penghantar daun ketum di Iskandar Puteri, Johor Bahru.

“Selain itu, suspek juga dikesan positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian air kencing yang dibuat keatasnya.

“Manakala suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Menurut Beng Yow, reman telah dipohon keatas lelaki berkenaan di Majistret Kulai dan telah mendapat kelulusan reman selama tiga hari sehingga 25 Ogos nanti.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM 10,000 atau penjara tidak melebihi 4 tahun atau kedua-duanya sekali.