MALAYSIA
Lelaki hilang ditemui meninggal dunia di puncak air terjun

Bomba mengambil masa hampir dua jam, dengan dibantu polis dan KKM serta orang awam, untuk membawa mangsa turun ke bawah dari puncak air terjun tempat dia ditemui. - Foto bomba
BALING: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ditemukan meninggal dunia di puncak air terjun di Kampung Teluk Sanau, di sini, awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan daripada polis bagi membantu mencari dan menyelamat mangsa.
Mangsa dimaklumkan lemas di kawasan air terjun tersebut pada jam 2.34 pagi.
“Sepasukan anggota dari BBP Baling terpaksa mendaki sejauh tiga kilometer dan sebaik sampai di puncak bukit mendapati seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri."Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Zulkhairi berkata, pihak bomba menggunakan pengusung dan sistem tali untuk membawa mangsa turun.
Katanya, kerja-kerja mengeluarkan mangsa amat berisiko dan mencabar disebabkan lokasi kejadian yang curam, permukaan batu yang licin, struktur muka bumi yang tidak sekata serta keadaan hujan renyai dan gelap.
"Bomba mengambil masa hampir dua jam, malah turut dibantu polis dan KKM serta orang awam untuk membawa mangsa ke bawah," tambahnya.
Menurut Zulkhairi, mangsa yang berusia sekitar 40-an itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Tiada rekod pengenalan diri mangsa ditemui di lokasi.
Operasi tamat pada jam 6.23 pagi, katanya.
Difahamkan, mangsa masuk ke hutan itu untuk melakukan kerja-kerja seperti mencari petai dan sayuran kampung.
Bagaimanapun, dia dilaporkan hilang selepas gagal dihubungi adiknya sejak petang, yang kemudiannya memohon pertolongan orang kampung untuk melakukan pencarian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami