LONDON: Raja Charles III tidak akan bersemayam di Istana Buckingham setelah kerja-kerja baik pulih dan pengubahsuaian selama 10 tahun itu dijangka siap pada tahun hadapan.
Menurut kenyataan pegawai istana pada Khamis, keputusan tersebut sekali gus menoktahkan hampir dua abad tradisi Istana Buckingham sebagai kediaman rasmi utama raja-raja Britain di pusat London.
Raja Charles III sebelum ini dijangka kembali bersemayam di istana berkenaan, namun pihak istana mengesahkan baginda akan kekal menetap di kediaman lain selepas kerja-kerja naik taraf tersebut disempurnakan.
Pada masa yang sama, pihak istana turut memaklumkan bahawa Raja Charles telah membayar cukai sebanyak £12.9 juta (AS$17.04 juta) bagi tahun kewangan 2024/25.
Ini merupakan kali pertama angka tersebut didedahkan kepada umum, sekali gus meletakkan baginda antara 100 pembayar cukai tertinggi di United Kingdom.
Istana Buckingham merupakan istana rasmi raja Britain di London serta lokasi utama bagi istiadat negara dan majlis rasmi diraja.
Pihak istana turut menyatakan komitmen keluarga diraja untuk meningkatkan tahap ketelusan kewangan, susulan kritikan awam yang semakin meningkat selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II pada tahun 2022.
Dunia
Raja Charles tidak akan bersemayam di Istana Buckingham
Istana Buckingham merupakan istana rasmi raja Britain di London serta lokasi utama bagi istiadat negara dan majlis rasmi diraja. - Foto REUTERS