KUALA KANGSAR: Mayat seorang lelaki warga Indonesia dipercayai mangsa bunuh ditemukan dalam tangki najis yang terletak di belakang rumah di sebuah kawasan dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 12.20 tengah malam Ahad.

Menurutnya, mayat mangsa berusia anggaran 40-an ditemui dalam keadaan berkain sarung dan berseluar dalam tanpa baju.

Katanya lagi, polis tidak menolak kemungkinan mangsa meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sebelum mayatnya ditemui.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan pada Isnin di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh mendapati punca kematian adalah akibat trauma tumpul pada bahagian kepala.

“Justeru kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, polis sedang mengesan sepasang suami isteri yang tinggal serumah dengan mangsa yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

“Identiti pasangan suami isteri berkenaan masih belum dikenal pasti.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di talian 05-7762222 atau Pegawai Penyiasat ASP Mohd Subkey Alisa di talian 013-9285436,” katanya lagi.