IPOH: Lelaki yang ditahan kerana disyaki melakukan khianat api di kediaman Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham, akan dituduh di Mahkamah Majistret Seri Manjung, esok.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri malam ini mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama untuk mengetahui sama ada suspek akan dituduh esok.

Terdahulu hari ini, Mohd Yusri memaklumkan tempoh reman lelaki yang ditahan kerana disyaki melakukan jenayah itu disambung sehari lagi sehingga esok.

Mohd Yusri berkata pihaknya terus menyiasat untuk mengetahui sejauh mana penglibatan suspek dalam kes itu, selain hasil siasatan forensik kebakaran yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga akan diambil kira dalam penyiasatan berkenaan.

Sebelum ini, lelaki berusia 30-an yang ditahan di Shah Alam, Selangor pada 12 Jan lepas, ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

Dalam kejadian awal pagi 10 Jan lepas, rumah Ngeh di Ayer Tawar dekat sini dipercayai dilontar dengan "molotov cocktail" menyebabkan kebakaran yang memusnahkan sebuah kereta miliknya, manakala dua kenderaan lagi mengalami kerosakan.

-- BERNAMA