YAN: Polis menahan seorang lelaki dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh ketika menunggang motosikal dengan menunjuk kemaluan pada dua wanita di Batu 22, Jalan Teroi-Yan, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan di Jalan Guar Cempedak pada jam 5.45 petang tadi.

“Suspek ditahan ekoran aduan dibuat daripada seorang wanita yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan.

“Suspek dipercayai seorang duda dan telah di bawa ke IPD Yan untuk siasatan lanjut sebelum perintah tahanan reman dipohon esok,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi Ahad, dua wanita yang sedang menaiki motosikal didatangi seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dengan melakukan aksi lucah sambil menunjuk kemaluannya.

Dua wanita masing-masing berusia 27 dan 20 tahun itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Keda, Sungai Udang selepas selesai menghadiri kursus di Guar Cempedak.

"Ketika tiba di Jalan Teroi-Yan, seorang lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran menghampiri mangsa membuka zip seluar dan memegang kemaluannya.

"Perbuatan suspek berjaya dirakam salah seorang wanita yang membonceng motosikal terbabit,” ujarnya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.