KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas mandi-manda bersama lima rakannya di Kampung Sungai Semungkis, Hulu Langat dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, Husain Hakimi Ridzuan, 22, dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus deras sungai sebelum tersepit di celahan batu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 11.14 pagi.

"Lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn dikerahkan ke lokasi pada 11.53 pagi untuk memulakan operasi pencarian.

"Mayat mangsa ditemukan pada 1.21 tengah hari dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA