Lelaki mabuk ditahan khianat rumah ibadat

Polis dari Balai Polis Ampang menahan suspek kira-kira jam 9.20 pagi dan hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod lampau berkaitan kesalahan dadah. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun selepas disyaki melakukan perbuatan khianat di sebuah rumah ibadat di Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika pengadu, seorang lelaki berusia 49 tahun yang bertugas sebagai anggota RELA bagi kawalan keselamatan di kuil berkenaan terdengar kekecohan di sebuah restoran dalam kawasan kuil.
Menurutnya, pengadu kemudian mendapati seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol sedang bercakap dan merapu sendirian.
“Pengadu meminta lelaki itu beredar serta tidak membuat bising di kawasan kuil.
"Namun, suspek bertindak menolak tempat pembakaran colok hingga menyebabkan abu colok terjatuh.
“Pengadu kemudiannya menahan suspek sebelum menghubungi pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Mohd Azam berkata, polis dari Balai Polis Ampang yang tiba di lokasi menahan suspek kira-kira jam 9.20 pagi dan hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
"Siasatan awal juga mendapati suspek bertindak sedemikian ketika berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Ampang hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


